‘Polis tumbuk, tampar saya’

LELAKI berusia 23 tahun mendakwa ditumbuk dan ditampar beberapa kali oleh seorang anggota polis selepas ditahan melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah di pekan Chemor, Ipoh, pagi Ahad lalu.

Wong Kar Seng mendakwa kejadian berlaku 3.10 pagi itu ketika dia dalam perjalanan dari Kampung Simee untuk pulang ke rumah keluarganya di Tanah Hitam, dengan memandu kereta Nissan Sentra.

Katanya, sebaik tiba di simpang tiga lampu isyarat berhampiran sebuah stesen minyak, dia tidak memberhentikan kenderaan meskipun pada ketika itu lampu isyarat merah.

“Saya tengok tiada kenderaan lain lalu terus memandu tanpa menghiraukan lampu isyarat merah itu, namun secara tiba-tiba sebuah kereta peronda polis mengekori dari belakang.

“Saya panik sebelum memecut laju hingga ke Sungai Siput,” katanya pada sidang media di Wisma DAP, di Ipoh, hari ini.

Wong berkata, dia memberhentikan kenderaannya di tepi jalan tidak lama selepas diekori dan kereta peronda polis turut berhenti di sebelah kanannya.

“Saya membuka pintu kereta, namun seorang daripada dua anggota polis yang berada dalam kenderaan itu datang dan terus menumbuk saya beberapa kali sebelum menarik saya keluar dari kereta.

“€œAnggota polis berkenaan turut menampar saya hingga mengakibatkan cermin mata saya terjatuh dan rosak,” katanya.

Dia mendakwa susulan kejadian itu, anggota polis berkenaan dan rakan sejawatnya membawanya ke Balai Polis Chemor sebelum mengeluarkan saman akibat kesalahan melanggar lampu isyarat merah.

Sementara itu, Pengarah Biro Pengaduan Awam DAP Perak, Steven Chaw berkata, kejadian menimpa mangsa adalah pertama kali berlaku dan budaya melayan orang awam secara kasar tidak patut berlaku.

“€œSaya minta Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby menyiasat perkara ini.

“Walaupun mangsa melanggar lampu isyarat, dia tidak memiliki senjata dan tidak melawan, tetapi sebaliknya dia dilayan dengan kekasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan pihaknya merujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput untuk tindakan lanjut berikutan kejadian itu dikatakan berlaku di kawasan daerah terbabit.

sumber : hmetro

Loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *