Ingatkan anak kucing…

“SAYA nampak gumpalan tudung di tepi jalan dan terdapat objek seperti melambai dari sebalik kain tudung itu. Saya sangka ia adalah anak kucing, rupanya tangan bayi,” kata penduduk Junaidah Hamid, 41.

Junaidah berkata, dalam kejadian 7.10 pagi, hari ini, dia sedang menunggang motosikal untuk menghantar anaknya ke sekolah sebelum ternampak gumpalan tudung bergerak-gerak di tepi jalan di Kampung Pulai, Tokai, Pendang.

“Sebaik berhenti dan mendekati objek itu, saya mendapati ada bayi lelaki pada kain terbabit dan dia tidak menangis. Malah, badannya tiada kesan luka,” katanya.

Menurut Junaidah, dia kemudian menyerahkan bayi terbabit kepada kakaknya untuk dijaga sementara dia meneruskan perjalanan menghantar anak ke sekolah.

Susulan kejadian itu, anak saudara Junaidah menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai bayi terbabit sebelum kakitangan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) datang mengambil bayi berkenaan.

Katanya, kawasan rumahnya memang agak terpencil dari rumah penduduk lain dan mereka tidak melihat sesiapa masuk ke kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan seorang bayi lelaki.

Katanya, bayi terbabit ditemui orang awam dalam keadaan bernyawa dan masih sihat dan dipercayai baru dilahirkan berikutan tali pusatnya yang masih ada.

“Bayi terbabit dihantar ke HSB dan pihak hospital akan menjaganya buat sementara waktu.

“Kita juga dalam proses mengesan ibu bayi berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.

sumber : hmetro

Loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *