‘Azmi datang jenguk, bagi baju raya Sefhia’

KUALA LUMPUR: Syawal kali ini lebih bermakna buat Elly Mazlein, 38, apabila bekas suami, Azmi Hatta datang melawat anak tunggal mereka yang berusia dua tahun, Putri Sara Sefhia, petang tadi.

Pertemuan kira-kira sejam di kediaman Elly di Cyberjaya, pada hari ke-10 Syawal, dianggap penyanyi dan pelakon itu sebagai menutup beban dan getir yang ditanggung selama ini.

“Syukur alhamdulillah, Aidilfitri kali ini cukup bermakna buat saya. Ini kerana Azmi sudi datang melawat anak kami. Ini yang saya tunggu-tunggu selama ini demi melihat kebahagiaan Sefhia dan hendak dia kenal siapa bapanya.

“Selama ini, orang anggap saya ‘meroyan’ dan tak boleh ‘move on’ (teruskan hidup) selepas berpisah dengan Azmi.

“Sedangkan, emosi yang saya lepaskan di Instagram adalah untuk mempertahankan hak anak saya. Saya tak kisah apa orang anggap saya, sebab kebahagiaan ini yang saya mahukan demi anak,” katanya kepada BH Online.

Elly turut berkongsi perasaannya terhadap pertemuan bekas suaminya itu dan Sefhia pada entri Instagram, kira-kira tiga jam lalu.

Sejak puterinya dilahirkan, Elly berusaha menuntut hak terhadap Sefhia daripada Azmi hingga meraih perhatian dan simpati peminat.

Mengambil sikap profesional dengan melayan kehadiran Azmi, Elly yang mesra disapa Kak Lina berkata, dia melihat bekas suaminya itu menitiskan air mata kerana rindukan anak.

Tidak pernah menghalang kehadiran Azmi ke rumah bertemu Sefhia, Elly menambah, Azmi ada menyuarakan hasrat untuk datang lagi, minggu depan.

“Sefhia memang tak kenal hingga memanggil Azmi gelaran ‘Uncle’. Tetapi saya cakap kepada Sefhia, panggil ‘daddy’ dan lama-kelamaan dia boleh terima.

“Apabila saya tengok mereka mesra dan mula bermain bersama, saya tinggalkan Azmi dengan Sefhia untuk dia luangkan masa bersama. Ini yang saya mahukan.

“Orang nak kata apa atas perbuatan saya selama ini… Biarlah. Ini kerana apa yang saya buat, akhirnya terbalas juga. Saya sangat berterima kasih kepada Azmi kerana sudi datang melawat anak.

“Saya harap hubungan antara bapa dan anak berkekalan,” katanya.

Mengharapkan Azmi tidak lagi mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa dalam memberi nafkah dan melawat anak, Elly menganggap pertemuan itu sebagai titik permulaan yang baik untuk permata hati kesayangannya itu.

Jauh di sudut hati Elly, dia berharap pertemuan itu menghentikan perbalahan antara mereka.

“Saya tidak mahu pergaduhan ini berlanjutan sebab malu dengan masyarakat. Orang nak hukum saya atas sikap serta perbuatan saya sebelum ini, saya tak kisah. Ini kerana saya sudah dapat apa yang saya mahukan untuk Sefhia.

“Bebanan yang saya tanggung selama ini sudah habis dengan pertemuan sejam ini.

“Alhamdulillah, Azmi tadi datang bawa baju raya untuk Sefhia dan saya lihat anak kami pun gembira. Saya cuma berharap ikatan antara mereka terus kekal,” katanya.

Elly dan Azmi yang juga pengarah drama, mendirikan rumah tangga pada 9 November 2014. Namun, mereka mengambil keputusan untuk berpisah pada 15 Oktober 2015.

Loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *